Black forest Crepe


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia..
Kini sudah masuk bulan Disember, bulan penghujung tahun. Bulan depan masuklah tahun baru, 2013. Masuk saja bulan Disember kesibukan akan bermula semula dengan urusan rasmi LPM dan mesyuarat sebagai persediaan untuk sesi persekolahan tahun depan. Rancangan Pelajaran Tahunan dengan Plan J  untuk tahun 2013 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 3 dan Geografi Tingkatan 4 telah pun siap. Cuma tinggal Geografi Tingkatan 5 dan Headcount yang belum siap. Modul P&P juga mesti disediakan lebih awal. Akanku siapkan sebelum 15 Disember ini...mesti siap. Kalau tidak kelam-kabut tahun depan. Hari pertama sesi persekolahan bermula, P&P mesti dijalankan.

Masih lagi dengan resipi crepe. Kali ini black forest crepe pula.

Black forest Crepe

Bahan-bahan:
30 gm tepung Hongkong
30 gm tepung kastard
20 gm tepung jagung
20 gm tepung ubi kayu
20 gm tepung kentang
3 biji telur
1/4 sudu teh garam
350 ml susu cair (suhu bilik)
1 sudu mentega cair
100 gm coklat masakan yang dicairkan (saya guna van
houten)
1 sudu teh coklat emulco

Bahan untuk filling:
350 gm non-dairy whipping cream
1 tin dark pitted cerry (asingkan buah dan sirapnya)
Buah Ceri di belah dua setiap satu


Sirap ceri
Sirap buah + 1 tbsp tepung jagung dan 1 tbsp gula pasir

Cara membuat:
1.   Satukan semua  bahan adunan dadar kecuali coklat masakan 
      dan coklat emulco, kacau rata.Masukkan coklat masakan yang 
      telah dicairkan dan coklat emulco. Kacau rata dan tapis.
      Rehatkan selama 20 minit. Adunan yang agak cair 
      menghasilkan dadar yang tipis.
2.   Panaskan kuali non-stick dengan api sederhana. Ambil satu 
      senduk kecil adunan dan lenggangkan kuali kiri dan kanan 
      hingga mendapat dadar yang tipis. Masak hingga atasnya 
      mengering, tidak perlu diterbalikkan.
3.   Angkat dan ulangi membuat dadar hingga habis.
4.   Letak setengah sudu sirap ceri 
di tengah dadar. Pipekan 
     whip cream, letak sebiji buah ceri yang telah dibelah dua
     kemudian tutup dengan whip cream.
5.   Lipat dadar menjadi empat segi.

Selamat mencuba...

Selepas ini hendak mencuba pula Oreo Cheese Blueberry Yogurt Crepe.


Mango Crepe


Assalamualaikum.
Kali ini saya nak ceritakan sikit tentang Monsun timur laut yang melanda negara kita Malaysia. Sebenarnya monsun ini bermula dari bulan November dan berakhir pada bulan Mac. Dalam tempoh tersebut, Malaysia terutamanya negeri-negeri di pantai timur akan mengalami musim tengkujuh. Biasanya hujan yang turun lebih lebat malahan kadangkala turun berhari-hari yang menyebabkan berlaku banjir. Hujan yang turun antara bulan November hingga Disember adalah yang paling lebat kerana angin bergerak dari kawasan yang mempunyai tekanan udara tinggi di hemisfera utara (musim sejuk)  ke kawasan yang mempunyai tekanan udara rendah di hemisfera selatan (musim panas). Oleh sebab itu, angin ini adalah angin sejuk apatah lagi angin yang melintasi Laut Cina Selatan yang luas akan membawa kandungan wap air yang lebih banyak. Pada masa inilah kita perlu lebih berhati-hati kerana banyak berlaku bencana alam seperti banjir dan gelongsoran tanah atau tanah runtuh.

Di Kluang, setiap petang hujan turun. Hujan-hujan begini terasalah sejuk. Kenapa ya jika cuaca sejuk kita mudah berasa lapar? Tak dapat nak menjawabnya. Kena tanya yang lebih pakar hehe...

Untuk resipi kali ini, saya cuba membuat mango crepe pula. Boleh tahan juga rasanya sebab saya campurkan sekali pati mangga yang dikisar ke dalam non-dairy whipping cream. 

 Mango Crepe

Bahan-bahan:
30 gm tepung Hongkong
30 gm tepung kastard
20 gm tepung jagung
20 gm tepung ubi kayu
20 gm tepung kentang
3 biji telur
1/4 sudu teh garam
300 ml susu cair (suhu bilik)
1 sudu mentega cair
pewarna kuning

Bahan untuk filling:
Pati mangga:
2 biji mangga manis 
100 ml air
1 sudu besar gula pasir
Kisar semua bahan di atas dan masak hingga pekat.

350 gm non-dairy whipping cream

Putar whipping cream hingga kental. Masukkan pati mangga dan gaul hingga sebati.

Cara membuat:

1.   Satukan semua  bahan adunan dadar, kacau rata dan
      tapis. Rehatkan selama 20 minit. Adunan yang agak
      cair  menghasilkan dadar yang tipis.
2.   Panaskan kuali non-stick dengan api sederhana.
      Ambil satu senduk kecil adunan dan lenggangkan
      kuali kiri dan kanan hingga mendapat dadar yang tipis.
      Masak hingga atasnya mengering, tidak perlu
       diterbalikkan.
3.   Angkat dan ulangi membuat dadar hingga habis.
4.   Pipekan sedikit whip cream yang telah diputar kental
      tadi di tengah dadar, letak isi mangga yang dipotong
      dadu kemudian tutup dengan whip cream.
5.   Lipat dadar menjadi empat segi.
6.   Sejukkan dahulu di dalam peti ais sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba...

Banana Crepe


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia...
Semoga rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai selama-lamanya. Bersyukur juga kita ke hadrat Illahi kerana tanah air yang kita cintai dijauhi daripada segala bencana sama ada bencana alam mahu pun bencana yang ditimbulkan oleh manusia sendiri. Masyarakat Malaysia dapat hidup harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum...Alhamdulillah.

Demam crepe belum hilang lagi! Dalam majalah Aroma keluaran Disember, pelbagai aneka resipi crepe yang dikongsikan oleh Pn. Nor Azlita empunya blog masam manis. Antaranya ialah Durian Crepe, Tuty Fruity Crepe, Crepe Nangka, Oreo Cheese Mille Crepe,Tiramisu Mille Crepe Cake, Oreo Crepe, Cempedak Crepe dan Mille Crepe with Vanilla Cream Custard. Mmmm.... semuanya menarik! Saya berminat dengan Tiramisu Mille Crepe dan Oreo Crepe. InsyaAllah jika ada masa saya pasti akan membuatnya. 

Dalam banyak resipi Pn. Nor Azlita tiada resipi Banana Crepe. Oleh itu, saya ingin berkongsi resipinya yang saya olah sendiri daripada resipi asas crepe daripada sumber Kak Wan

Bahan-bahan crepe:
30 gm tepung Hongkong
30 gm tepung kastard
20 gm tepung jagung
20 gm tepung ubi kayu
20 gm tepung kentang
3 biji telur
1/4 sudu garam
350 ml susu cair (saya guna susu Ideal)
1 sudu besar mentega cair
4 - 5 biji pisang emas (lebih kurang 160 gm)  - dilecek dahulu
1 sudu teh perisa pisang
pewarna kuning

Bahan untuk filling :
400 gm non-diary whipping cream
200 gm coklat ganache
Beberapa biji pisang berangan

Cara membuat coklat ganache:
350 gm dark coklat compound
140 ml krim putar
1 sudu besar unsalted butter

Panaskan krim putar secara double boiler tetapi jangan sampai mendidih. Masukkan coklat dan kacau hingga coklat cair. Masukkan butter. Angkat dan sejukkan.

Cara-cara membuat :
1.   Satukan semua bahan adunan dadar kecuali pisang. Kacau rata 
      hingga sebati. Kemudian masukkan pisang yang sudah dilecek 
      dan kacau rata. Kisar halus bahan adunan dan tapis.
2.   Panaskan kuali  non-stick dengan api sederhana. Ambil satu 
      senduk kecil adunan dan lenggangkan kuali kiri dan kanan 
      hingga mendapat dadar yang tipis. Masak hingga atasnya 
      mengering, tidak perlu diterbalikkan.
3.   Angkat dan buat dadar hingga habis.
4.   Putar non-diary whipping cream hingga kental. Masukkan 
      coklat ganache (hanya guna 200 gm saja ya...) dan terus putar 
      hingga sebati.
5.   Paipkan sedikit coklat whip cream di tengah dadar, letak dua
      keping pisang yang dipotong serong setebal 1 sm, kemudian
      tutup semula dengan coklat whip cream.
6.   Lipat dadar menjadi empat segi. Simpan di dalam peti ais dahulu
      sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba...


Durian Crepe


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia...
Semoga hari ini kita lebih sihat. Makanlah makanan yang berkhasiat, banyak minum air dan buatlah senaman. Jika anda sudah masuk dalam peringkat umur 40-an seperti saya, ambillah produk kesihatan. Banyak produk kesihatan yang ada di pasaran tetapi saya lebih percaya kepada produk Eskayvie kerana saya tahu siapa pengasasnya. Antara produknya ialah Radianze dan Reverse yang sudah pun saya ambil sejak 6 bulan lalu. Memang banyak perubahan pada diri saya. Kesihatan saya semakin baik, lebih cergas dan kulit saya semakin lembap. 


                      Sebelum mengambil produk Eskayvie


                   
                    Selepas 6 bulan mengambil produk Eskayvie

Saya memanglah bukanlah dalam kategori cantik....tapi kalau kulit kita warnanya tak sekata, kita akan nampak lebih tua daripada usia walaupun saya ni dah 40-an...hehe... Tetapi yang lebih penting bagi saya, biarlah tak cantik asalkan saya sihat dan Allah memanjangkan usia saya untuk saya beramal ibadah dan melihat anak saya membesar dan jika dipanjangkan usia dapat melihat cucu...amin.

Kini saya mengambil Reduze pula untuk mengurangkan sedikit berat badan dan yang penting mengurangkan paras kolestrol saya yang agak tinggi. InsyaAllah, dengan bersenam setiap hari di samping produk kesihatan yang baik  diharap kesihatan saya semakin baik. Satu lagi yang perlu saya jaga ialah pemakanan. Kini saya memang langsung tidak boleh makan daging. Jika saya makan juga, mulalah kepala saya pening 2 - 3 hari. Satu lagi durian yang ditambah dengan bahan-bahan lain seperti bubur kacang durian. Dulu boleh makan bermangkuk-mangkuk tapi sekarang makan semangkuk saja kepala dah pusing. Sekarang tengah hangat pula durian crepe....lihat pada resipinya takut nak makan sebab tu tak pernah beli pun biarpun orang lain gila-gila membelinya. Tetapi atas permintaan Angah yang teringin nak makan durian crepe ni, kakaknya yang penyayang ni..tak sampai hati nak hampakan keinginannya takut kempunan, maka tercari-carilah resipi di blog-blog masakan. Akhirnya jumpalah resipi ni dalam blog http://resipicitarasawan.blogspot.com   Terima kasih Kak Wan kerana sudi berkongsi resipi dengan rakyat Malaysia. Semoga rezeki Kak Wan bertambah-tambah...amin.

Hmmm...memang sedap teramatnya tambah lagi fillingnya saya letak isi durian segar Musang King, terasa lemaknya durian ni. Emak yang memang suka durian memuji-muji keenakan durian crepe ni.... tapi saya dengan Angah makan sekeping saja terus pusing kepala. Kesimpulan yang saya dapat ialah bagi orang yang ada tekanan darah tinggi berpada-padalah makan durian crepe ni. Bagi saya durian sebiji saya boleh habiskan, tiada masalah tapi apabila ditambah dengan bahan-bahan berlemak seperti santan atau fresh cream, kita akan mudah pening kepala kerana makanan ini menjadi lebih berkolestrol.

Di sini saya salin semula resipi Kak Wan. Kak Wan letak kastard durian sebagai fillingnya tapi saya letak isi durian segar Musang King yang harganya mak ooiii..sekilo RM 22.00! Beli sebiji saja harganya RM39.00.


Durian Crepe
Sumber :  http://resipicitarasawan.blogspot.com

Bahan-bahan:
30 gm tepung Hongkong
30 gm tepung kastard
20 gm tepung jagung
20 gm tepung ubi kayu
20 gm tepung kentang
3 biji telur
1/4 sudu teh garam
300 ml susu cair (suhu bilik)
1 sudu mentega cair
pewarna kuning

Cara membuat:
1.   Satukan semua  bahan adunan dadar, kacau rata dan tapis. 
      Rehatkan selama 20 minit. Adunan yang agak cair 
      menghasilkan dadar yang tipis.
2.   Panaskan kuali non-stick dengan api sederhana. Ambil satu
      senduk kecil adunan dan lenggangkan kuali kiri dan kanan
      hingga mendapat dadar yang tipis. Masak hingga atasnya
      mengering, tidak perlu diterbalikkan.
3.   Angkat dan ulangi membuat dadar hingga habis.
4.   Pipekan sedikit whip cream yang telah diputar kental di tengah
      dadar, letak isi durian kemudian tutup dengan whip cream.
5.   Lipat dadar menjadi empat segi.


Inilah hasil tangan saya... buat sendiri boleh letak banyak isi durian..hmmm..terasa lemak durian Musang King ni...

Selamat mencuba...

Kek untuk kesihatan


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia...

Kek menjadi kegemaran banyak orang kerana keenakannya yang tak terkata . Tetapi kebanyakan kek mengandungi kolestrol yang tinggi terutama cheese cake. Bagi orang yang mengidap tekanan darah tinggi, awas ya...cheese merupakan makanan yang pertama mesti dijauhi kerana kandungan kolestrolnya yang teramatlah tingginya...makan tak sampai sepotong tapi lepas tu mulalah kepala sakit. Paras kolestrol tidak boleh melebihi 5.2 tapi paras kolestrol saya pada bulan lepas 6.6! Doktor menasihati saya mengambil ubat kolestrol dan bersenam. Mula makan ubat tapi selalu terlupa makan. Rakan sekerja menasihati saya berjoging. Demi kesihatan, saya mula mengambil produk kesihatan Eskayvie iaitu Radienze dan Reverse.  Sejak mengambil produk ini, gula dalam darah  saya hanya 4.4 berbanding 5.6 dulu. Ubat darah tinggi pula tidak perlu setiap hari saya ambil. Cuma kolestrol degil dan jahat ni memang susah betul nak turun. Jadi saya pun dah mula bersenam, berjoging atau paling tidak berjalan kaki ke rumah emak yang mengambil masa setengah jam. Kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat!



Tofu cake atau kek kacang soya merupakan kek yang sangat baik bagi penggemar kek yang mahu menjaga kesihatan. Kek ini tidak menggunakan kuning telur dan mentega. Rendah kalori tetapi sangat sedap apatah lagi fillingnya blueberry. Sumber resipinya dari buku Alex Goh Baking Craft Series 1010.

Tofu Cake
Bahan-bahan :
(A)  Susu kacang soya  90 gm
       Garam 1/8 sudu teh
       Minyak   100 gm (saya guna minyak jagung)
       Putih telur  1 biji

(B)  Tepung jagung   30 gm
       Tepung superfine   120 gm

(C)  Putih telur   7 biji
       Gula kastor   130 gm
       Cream of tartar  1/2 sudu teh

Filling :
Blueberry filling (yang berbiji)

Topping :
Non-diary whipping ream

Cara membuat:
1.  Satukan bahan-bahan (A) dan kacau dengan whisk tangan 
     hingga sebati. Masukkan bahan (B) dan gaul hingga sebati.
2.  Pukul putih telur dalam (C) dengan wire whisk pada kelajuan
     tinggi hingga berbuih. Kemudian, masukkan gula dan cream of
     tartar dan pukul lagi hingga bertanduk (soft peaks).
3.  Ambil 1/3 meringue dan masukkan ke dalam adunan di atas,
     kaup balik dengan spatula plastik. Buat sampai habis meringue
     dimasukkan ke dalam adunan.
4.  Masukkan ke dalam loyang saiz 8 inci dan bakar selama 40 minit
     dengan suhu 170 darjah celcius.
5.  Potong kek kepada tiga bahagian. Lapiskan kek dengan 
     blueberry filling.
6.  Hiaslah kek dengan fresh cream dan blueberry filling.

p/s  :  Jangan terlebih pukul putih telur, cukup soft peaks saja untuk
          mengelakkan kek mendap.

Selamat mencuba....

Selamat Hari Lahir Bonda


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia...
Alhamdulillah...sekali lagi pada 1.11.2012 kami meraikan hari lahir bonda yang ke-65 tahun. Kami adik-beradik sentiasa mendoakan agar bonda sentiasa sihat dan dipanjangkan umur. Bonda mengidap penyakit buah pinggang dan telah menjalani hemodialisis selama 11 tahun. Semalam ketika berada di unit hemodialisis hospital Kluang, tiba-tiba hati terasa sebak teringat 9 tahun dahulu, arwah ayah menghantar, meneman dan mengambil bonda ketika menjalani dialisis. Waktu itu, bonda masih kuat ke hospital hanya menaiki motor bersama arwah ayah. Kini bonda semakin uzur. Kami hanya dapat berdoa agar Allah memanjangkan usia  dan memberikan kesihatan yang baik kepada bonda...Amin...


Pada tarikh yang sama juga, kami meraikan hari lahir anak Angah, Nisa yang ke-5. Begitulah setiap tahun kami meraikannya bersama-sama. Orang yang lahir pada bulan November ni ada keistimewaannya juga. berdasarkan kajian pakar motivasi terkenal Dato' Dr Fadzilah Kamsah, orang yang lahir pada bulan ini,


banyak idea dalam perkara
sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya
berfikiran kehadapan
berfikiran unik dan bijak
penuh dengan idea-idea baru yang luar biasa
pemikiran yang tajam
daya firasat yang sangat halus dan tinggi
bagus untuk jadi doktor
cermat dan teliti
personaliti dinamik
sifat yang berahsia
pandai mencungkil dan mencari rahsia
banyak berfikir
kurang bercakap tetapi mesra
berani, pemurah, setia dan banyak kesabaran
terlalu degil dan keras hati
apabila hendak, diusahakan sehingga berjaya
tidak suka marah kecuali digugat
mudah ambil berat terhadap orang lain
pandai muhasabah diri
cara berfikir lain dari orang lain
otak yang sangat tajam
pandai mendorong diri sendiri
tidak hargai pujian
kekuatan semangat dan daya juang yang sangat tinggi dan apabila hendak sesuatu cuba sampai berjaya
badan yang tough
kasih sayang dan emosi yang sangat mendalam
romantik
tidak pasti dgn hubungan kasih sayang
suka duduk dirumah
sangat rajin dan berkemampuan tinggi
amanah, jujur setia dan pandai berahsia
tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi
bercita-cita tingg
perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah


  Kek Durian Fantasy untuk bonda. Bonda memang suka makan   
  durian.


Kek Rainbow filling cream cheese dan topping italian buttercream. Resipinya boleh rujuk Kak Wan


Resipi Kek Durian Fantasy
Sumber : Alex Goh Baking Craft Series 1010

Kek:
(A)   Butter 150g
        Gula kastor 25 g

(B)  Kuning telur  7 biji
       Isi durian 70 g

(C) Putih telur 7 biji
      Gula kastor 160 g

(D)  Tepung gandum 200 g
       Baking Powder 1/2 sudu teh
       Ayak bahan di atas

Kastard Durian :
(A) Gula kastor 25 g
      Tepung kastard 20 g
      Susu segar 30 g
      Isi durian 50 g

(B)  Susu segar 120 g

(C)  Butter 20 g

Krim Durian :
(A)  Kastard durian 240 g

(B)  Butter cream 200 g
       Cara membuat :
       Butter 350 g (saya guna unsalted)
       Shortening 150 g
       Gula aising 160 g (boleh kurangkan jika manis)
       Pukul butter dengan flat beater hingga lembut. Masukkan 
       shortening dan pukul hingga sebati. Masukkan gula aising dan 
       pukul hingga sebati. Berhenti pukul, kaup krim di tepi dan 
       bawah mangkuk dengan spatula palstik. Tukar flat beater 
       dengan wire whisk dan terus pukul hingga kembang dan 
       keputihan.

Cara membuat :
1.  Pukul (A) dengan pemukul flat sehingga halus dan keputihan 
     menggunakan kelajuan sederhana. Masukkan (B) dan putar 
     sehingga lembut dan keputihan. Berhenti putar, kaup adunan di 
     tepi dan bawah mangkuk adunan.
2.  Pukul telur putih (C) kelajuan sederhana  dengan wire whisk 
     sehingga berbuih. Masukkan gula dan pukul hingga kental. 
     Masukkan adunan di atas ke dalam adunan putih telur tadi.
3,  Masukkan (D) dan gaul dengan spatula plastik hingga sebati.
4.  Bakar adunan dalam loyang 8 inci yang dilenser butter dan 
     bakar selama 45 minit dengan suhu 175 darjah celcius.
5. Kastard durian :
    Campurkan semua bahan (A) dan gaul hingga sebati.
    Masak (B) hingga mendidih. Masukkan ke dalam (A) dan kacau 
    hingga sebati. Masak semula hingga pekat. Campurkan butter 
    dan kacau hingga sebati. Sejukkan.
6. Krim durian :
    Campurkan semua bahan dan gaul hingga sebati.
7. Potong kek kepada tiga bahagian. Ambil satu bahagian, sapukan
    dengan krim durian dan letak satu lapis lagi kek di atasnya. Ulang
    hingga habis lapis.
8. Sapukan keliling kek dengan krim durian dan hiaslah mengikut 
    citarasa. Simpan kek di dalam peti ais.  Kek lebih sedap dimakan 
    sejuk.

            Tempahan pertama kek durian fantasy untuk anak-anaknya 
        yang lahir pada bulan 2,9, dan 10. Terima kasih...

 


Assalamualaikum...
Selamat bercuti kepada semua anak-anak yang bersekolah dan semua guru. Cuti sekolah datang kembali tapi ingat ya...konsep cuti sekolah ni pada saya hanya bercuti pergi ke sekolah saja bagi para pelajar. Di rumah mereka perlu mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM pada tahun hadapan.Bagi guru pula satu pertiga cuti masih perlu ke sekolah menjalankan tugas dan yang selebihnya perlu membuat perancangan untuk tahun hadapan. Rancangan pelajaran tahunan, Plan J, Perancangan Strategik, bahan-bahan modul untuk tahun 2013 perlu disediakan sekarang supaya apabila naik cuti persekolahan guru sudah siap sedia dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari pertama lagi....Silap ya bagi orang yang mengatakan guru makan gaji buta pada cuti sekolah ini....


Sebelum cuti bermula minggu lepas, seperti kebiasaannya kami mengadakan pot-luck. Atas permintaan rakan-rakan, saya menyediakan satu lagi kek keladi versi kedua.. seperti gambar di atas. Alhamdulillah rakan-rakan memuji keenakan kek ini...terima kasih.

Resipinya saya ambil daripada buku Sweet Dessert terbitan Rampai Seni Sdn Bhd tapi saya olah sedikit supaya menjadi labih enak.

Kek Keladi:

Sebiji kek span vanilla saiz 9 inci.

Krim keladi :
1 kg keladi
3/4 cawan gula kastor
3 biji telur (A)
400 ml santa pekat ( saya guna santa KARA)
300 ml air
1/4 cawan tepung gandum
20 gram tepung jagung
25 gram gelatin (saya rendam dahulu hingga kembang)
1/2 sudu teh keladi paste
Beberapa titik pewarna ungu
1/2 teh garam

Hiasan :
Non-dairy whipping cream
Kelapa kering

Cara membuatnya:
1. Kupas keladi dan potong-potongkan. Rebus hingga empuk.
2. Kisar keladi dengan air dan telur. Masukkan ke dalam periuk.
    Campurkan santan, gula, tepung gandum, tepung jagung, gelatin, 
    pewarna ungu, keladi paste dan garam.
3. Kacau hingga mendidih dan masak.
4. Potong kek kepada tiga bahagian.
5. Ambil satu lapis kek, kemudian sapukan krim keladi  di atasnya.
6. Letakkan satu lagi lapisan kek dan sapukan krim keladi di 
    di atasnya. Ulang untuk lapisan yang ketiga.
7. Sapukan krim keladi di sekeliling kek supaya kek menjadi kemas
    dan mantap. Simpan di dalam peti ais sekejap lebih kurang 
    setengah jam.
8. Hias kek dengan krim segar yang telah diputar dan kelapa kering.

Selamat mencuba....

 Assalamualaikum..
Lama juga tak menaip patah-patah kata di sini. Terpaksa dikurangkan masa membuat kek dan mengemas kini blog lantaran kerja-kerja yang lebih penting perlu diselesaikan dahulu. Oleh sebab hari ini Hari Guru...maka rehat-rehatkan diri sekejap daripada menjalankan tugas guru. Sebelum itu, hari Ahad lepas kami sekeluarga menyambut hari ibu. Sudah bertahun-tahun menyambut hari ibu, timbul pula isu hari ibu haram disambut kerana menyamai majlis Mother's Day bagi orang yang beragama  kristian. Ada yang berpendapat, hendak menghargai ibu tak perlu ada harinya, setiap hari pun boleh. Memang betul mana-mana hari pun kita boleh menghargai ibu kita tapi ada dalam kalangan kita sendiri pun hanya dapat berjumpa dengan ibu sekali dalam sebulan kerana sibuk bekerja. Dengan adanya hari istimewa ini, mereka boleh mengambil peluang berjumpa untuk meraikan hari ibu dan mana tahu tahun ini mungkin tahun terakhir kita bersamanya. Ajal dan maut Allah yang menentukan...yang muda pun boleh dijemputNya dahulu daripada yang tua...   


Kek span oren dan coklat mousse peach. Sumber resipinya dari masam manis 


Snowy peach cream custard ditempah oleh Kak Sal untuk majlis
perkahwinan ananknya. 
    

Span coklat lapis coklat ganache juga ditempah oleh Kak Sal. Terima kasih daun keladi, lain kali tempah lagi ya..Kak Sal.

Pada tarikh ini juga diucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru Malaysia. Tema Hari Guru 2012 "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Kek lapis kastard keladi

Assalamualaikum...
Semoga kehidupan yang anda lalui hari ini lebih ceria dan lebih bersemangat dari hari semalam. Semoga hari ini lebih bermakna dari hari semalam. Tapi kadang-kadang semangat diri menurun juga. Seakan-akan hilang semangat pulak untuk mencoret kata-kata di sini. Mungkin sebab tekanan kerja? Kerja...kerja....makin banyak pula dokumentasi yang perlu dibuat...Apabila perasaan sebegini melanda kita...pandai-pandailah kita memotivasikan diri sendiri. Tahukah anda, orang yang pandai memotivasikan diri sendiri ialah orang yang dilahirkan dalam bulan April! Mengikut kajian pakar motivasi terkenal Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, peribadi atau tingkah laku seseorang itu boleh kita kenali melalui bulan kelahirannya.

Peribadi orang yang dilahirkan dalam bulan April (bermula 23 Mac - 23 April) ialah :

Sangat aktif dan dinamik.
Cepat bertindak buat keputusan tetapi cepat menyesal.
Sangat menarik dan pandai memanjakan diri.
Mempunya daya mental yang sangat kuat.
Suka diberi perhatian.
Sangat diplomatik (pandai memujuk ,berkawan dan pandai menyelesaikan masalah orang).
Sangat berani dan tidak ada perasaan takut.
Pengasih, penyayang, sopan santun dan pemurah.
Emosi cepat terusik.
Cuba kawal emosi.
Kecenderungan bersifat dendam.
Agresif, kelam kabut untuk membuat keputusan.
Kuat daya ingatan.
Gerak hati yang sangat kuat.
Pandai mendorong diri sendiri dan memotivasikan orang lain.
Berpenyakit di sekitar kepala dan dada.
Sangat cemburu dan terlalu cemburu.

Menurut kajian beliau, dikatakan 90% daripada sifat yang dinyatakan adalah betul. Saya juga merasakan 90% sifat tersebut ada pada saya. Yang sangat betul ialah saya memang mempunyai gerak hati yang sangat kuat dan berpenyakit di sekitar kepala dan dada. Saya memang penghidap migran sejak belajar di universiti lagi. Ada masanya terasa sakit dada. Untuk mengurangkan sakit dada amalkanlah memakan omega oil. Omega oil yang saya makan ialah produk Amway. Memang sangat berkesan. Kalau tapak tangan kanan saya gatal, saya akan mengagak akan ada orang membuat tempahan kek kerana tangan inilah yang akan membuat kek, hehe...dan ternyata betul tekaan saya, tidak lama kemudian pasti ada yang menempah. Alhamdulillah... orang-orang yang dilahirkan dalam bulan April memang sangat bertuah....termasuk saya?


Inilah kek hari jadi bagi bulan April.




Kek hari jadi Angah yang lahir pada 24 Mac, kek keladi lapis kastard keladi. Sangat sedap. Resipinya milik
kak wan.

Anak tunggal kesayanganku...Alina Aisyah sedang memotong kek harijadinya yang lahir pada 4 April...



Kek vanilla mousse kopi

Assalamualaikum
Cuti sekolah sudah pun bermula...para pelajar termasuklah anakku gembira sangat. Tapi anakku dan anak-anak didikku, ingatlah cuti sekolah bermakna hanya cuti pergi ke sekolah saja. Tugasan sekolah tak bercuti ya...tetap ada. Bagi golongan pendidik juga tetap ada tugas-tugas sekolah yang perlu disiapkan sebelum sekolah bermula semula. Buku latihan pelajar perlu ditanda. Kertas ujian juga mesti siap ditanda. Diingatkan, markah mesti diisi secara online sebelum 30 Mac. Itu belum lagi program-program peningkatan akademik pelajar. Masyarakat di luar hanya memandang kerja cikgulah yang paling mudah..malahan ada yang pernah berkata cikgu makan gaji buta semasa cuti sekolah! Masya Allah..kesian cikgu-cikgu yang tak pernah berhenti bekerja keras demi memastikan kecemerlangan pelajar-pelajarnya.


Cuti sekolah ini merupakan kesempatan terbaik untuk memberikan sedikit pendedahan kepada anak tentang kehidupan masyarakat luar. Kali ini anak didedahkan tentang pengangkutan awam. Rancangan awalnya hendak menaiki kereta api ke Seremban. Sejak kecil anak hanya naik kereta saja, jadi perlu juga merasakan dia naik kereta api. Tapi malangnya tiket habis. Oleh itu, rancangan bertukar, ke Seremban menaiki kereta. Di stesen kereta api, kami menaiki komuter ke KL. Di sinilah banyak pengalaman dan pengajaran yang diperoleh terutama semasa di dalam komuter. Ramai kalangan pelajar universiti menggunakan perkhidmatan ini. Elok juga mereka menaiki pengangkutan ini kerana pertamanya mereka sudah didedahkan dengan masyarakat luat, taklah terperuk saja di dalam kampus. Keduanya, mereka belajar secara tidak langsung cara menghormati orang yang lebih tua dan yang lebih memerlukan tempat duduk. Inilah yang paling penting, berhadapan dengan masyarakat luar sebelum memasuki alam pekerjaan yang banyak berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Tahniah kepada adik-adik mahasiswi yang memang bersopan santun dan menghormati orang lain (memberikan tempat duduk kepada orang yang memerlukannya dan tidak berebut-rebut turun malahan memberikan laluan dulu kepada orang lain). Tahniah! Itulah anak Malaysia yang tidak lupa adab ketimuran.

Habis bab cuti..tak boleh cuti lama-lama walaupun sekolah belum buka lagi. Kerja mesti siap sebelum naik sekolah. Tapi minat membuat kek tetap diteruskan. Sekurang-kurangnya dapatlah meredakan sedikit tekanan.

Bagi peminat kopi seperti saya, inilah kek vanilla mousse kopi. Ada yang kata kopi boleh membuatkan kita migran. Tapi bagi saya kopi sebenarnya baik untuk aliran darah tapi janganlah minum berlebihan. Apa-apa pun makanan kalau makan berlebihan memang boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Kek span vanilla
Bahan-bahan:
250 gm tepung optima
250 gm telur
100 ml air/susu segar
100 ml minyak jagung

Bahan Mousse Kopi:
250g krim putar (non-dairy whipping cream)
70g susu segar
50g gula kastor
1 tbsp gelatin direndam dalam 4 tbspn air
3 biji kuning telur
1 st nescafe
1 st emulco kopi

Cara:
1.Gelatin dan air dicairkan secara double-boiler.Ketepikan.

2.Susu segar,telur kuning,gula kastor,serbuk nescafe,emulco kopi disatukan dlm periuk.Kacau secara double boiler hingga cair.Masukkan gelatin tadi & kacau sebati hingga pekat. Angkat dan sejukkan.

3.Krim putar dipukul hingga kembang dan gebu.Gaulkan ke dalam adunan kopi tadi hingga sebati.Siap untuk dituang ke atas kek span tadi.

4.Bahagikan kek kepada 3 keping. Letakkan 1 keping kek atas papan kek dan beri mousse kopi.Buat seperti ini hingga habis. Sapu mousse kopi di sekeliling kek dan hiaslah ikut cita rasa.

5.Sejukkan kek mousse kopi dalam peti sejuk baru hidang.

Selamat mencuba.

Assalamualaikum...
Hari ini dalam sejarah, pada hari ini 15 Februari 1942, seluruh Tanah Melayu termasuh Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun. Leftenan Jeneral A.E. Percival terpaksa menyerah kalah kepada Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki di Singapura. Tentera Jepun mula mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember 1941 dan dalam tempoh sepuluh minggu sahaja, tentera Jepun berjaya menakluki seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura.

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Begitulah halnya dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Selama 3 tahun Jepun memerintah negara kita dengan kejam. Terlalu ramai penduduk Tanah Melayu ketika itu dibunuh. Kekejaman ini janganlah dijadikan contoh dan diikuti. Yang boleh kita ambil iktibar daripada sejarah ini ialah semangat juang yang tinggi, kebijaksanaan mengatur strategi dan semangat patriotik mereka terhadap maharaja dan negara mereka. Mereka berjuang untuk kemegahan negara mereka dan rela mati demi Maharaja Jepun. Semangat inilah yang sepatutnya ada dalam diri anak-anak muda warganegara Malaysia. Atas semangat inilah mereka bangkit semula selepas Tentera Bersekutu menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945

Kini, negara Jepun antara negara termaju di dunia dan terkenal dengan teknologinya yang tinggi. Tun Dr. Mahathir pernah menjalankan dasar pandang ke timur terutama ke negara Jepun kerana semangat rakyatnya yang tinggi dalam memajukan negara mereka. Pengajarannya di sini ialah semangat dan azam yang tinggi akan menghasilkan kejayaan bagi sesuatu kaum, bangsa dan negara.

Ya...hidup mesti penuh dengan semangat. Semangat dalam usaha memajukan diri sendiri dan keluarga. Dengan doa dan tawakkal insyaAllah, kita pasti berjaya. Amin....

Atas semangat dan niat ibadah, usaha membuat kek-kek tempahan diteruskan. Minggu ini, membuat tiga biji kek tempahan




Kek coklat mousse blueberry dan topping freshcream dan blueberry...

Kek coklat mousse coklat dengan topping freshcream dan blueberry

Kek snowy peach cream custard untuk majlis persaraan Pn. Noor Sida...

KEK COKLAT MOUSSE BLUEBERRY
Sumber : Aneka Sajian Kek Mousse
Penulis : Dini Mariadi & Nor Faridah

Bahan-bahan untuk kek span coklat
250 gm tepung optima coklat
250 gm telur
100 ml susu full cream
100 ml mentega yang telah dicairkan / minyak jagung

Filling
250 gm blueberry filling
½ sudu besar gelatin direndam di dalam 4 sudu besar air
250 gm whipping cream

Topping
300 gm whipping cream
Blueberry topping

Cara membuat kek span:
1. Campurkan tepung optima bersama telur dan susu. Pukul hingga kembang.
2. Masukkan mentega cair/minyak jagung. Gaul hingga sebati.
3. Tuang ke dalam loyang saiz 9 inci dan bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 40 minit.

Cara membuat filling
1. Larutkan gelatin cara double boiler
2. Putar whipping cream hingga kental dan bertanduk (soft peak)
3. Masukkan gelatin dan blueberry filling. Gaul rata.

Cara melapis
1. Potong kek kepada tiga bahagian. Letakkan satu bahagian di atas papan kek.
2. Sapukan bluberry filling kemudian tutup semula dengan kek. Ulang cara yang sama sehingga habis lapisan.
3. Sapukan nipis blueberry filling di sekeliling kek supaya kek menjadi lebih kemas. Simpan 30 minit di dalam peti ais.
4. Keluarkan kek dan hias kek dengan fresh cream yang telah diputar di sekeliling
kek dan letak Blueberry topping di atas permukaan kek.


Selamat Mencuba...





















































tentang blog

Menerima Tempahan untuk Kek Kukus Buahan-buahan

tentang saya

diet pills