Assalamualaikum.
Alhamdulillah hari ini sudah 15 hari kita berpuasa. Semoga kita dapat menjalani ibadah ini pada hari-hari berikutnya dengan penuh keikhlasan dan ketenangan...Amin.
Masuk hari ke-15, projek membuat kuih raya pun bermula. Biasanya awal puasa saja kuih raya sudah ditempah daripada rakan. Tetapi tahun ini teringin pula nak buat sendiri. Tambahan pula ada adik yang akan membantu. Bahan-bahan membuat kuih pun sudah dibeli dan merancang akan membuatnya pada hari Khamis ini.
Angin-angin hari raya pun sudah terasa. Lagu rayu pula sudah berkumandang di radio dan pusat-pusat beli-belah. Walau bagaimanapun membuat kek tetap diteruskan. Kek kali ini dibuat untuk hari lahir dua orang adik lelaki Noor Asyaruddin (15 Ogos) dan Nur Muhammad Firdaus (13 Ogos). Kami menyambutnya semalam (14 Ogos) selepas berbuka puasa. Istimewanya, kek ini jarang-jarang dibuat dan rasanya tak ada dijual di kedai. Adik tanya di Secret Recipe ada tak jual. Saya jawab macam tak ada sebab orang putih tak makan durian..hehe... Inilah kek durian yang saya buat.Angah kata inilah kek yang tersedap di dunia hehe..memang sedap bagi yang suka akan durian. Yang tak suka, bau durian pun tak boleh.
Kek yang telah dihias dengan fresh cream
Kek yang dilapisi mousse durian...
Seperti biasa saya ingin berkongsi resipinya.Resipi ini saya peroleh dalam majalah WANITA keluaran Mei 2010.
Bahan-bahan untuk kek span:
250 gm tepung campuran span
250 ml telur
100 ml air
100 ml mentega yang telah dicairkan.
Mousse Durian:
375 gm isi durian
100 gm gula melaka
100 ml air
2 biji telur
15 gm gelatin
345 krim putar (UHT)
Untuk hiasan:
250 ml whipping cream topping
Cara membuat kek span:
1. Campurkan tepung span mix bersama telur dan air. Pukul hingga kembang.
2. Masukkan mentega cair. Gaul hingga sebati.
3. Tuang ke dalam loyang saiz 8 inci dan bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 40 minit.
Cara menyediakan mousse durian:
1. Pukul krim hingga kembang.
2. Masak gula melaka bersama air. Setelah gula melaka larut, masukkan isi durian dan telur. Kacau sebati.
3. Cairkan gelatin dengan cara double boiler.
4. Campurkan krim ke dalam isi durian dan masukkan gelatin. Kacau hingga sebati.
5. Potong kek kepada tiga bahagian. Lapiskan kek dengan mousse durian. Sapu nipis keliling kek dengan mousse durian. Selepas itu, sejukkan di dalam peti ais selama 30 minit, kemudian hiaslah dengan fresh cream yang telah diputar kembang.
Selamat mencuba..
p/s : Semakin hampir suara takbir, semakin rapat kesedihan menemani diri, semakin tebal kerinduan pada orang yang telah pergi....
0 comments:
Post a Comment