Kek Cawan Pisang

Assalamualaikum..
Alhamdulillah hari ini 29 hari sudah kita berpuasa. InsyaAllah esok kita akan menyambut hari raya. Dalam sibuk-sibuk membuat kuih hari raya dan mengemas rumah sempat juga membuat kek yang ditempah rakan-rakan.


Kek karot yang ditempah oleh Geetha



Kek Coklat Pisang yang ditempah oleh Suhaili


Terima kasih rakan-rakan yang sudi menempah kek. Begitu juga kepada Kak Yah dan shima yang menempah kek kukus buah-buahan. Tahun ini masih diberi kekuatan untuk membuat 10 biji kek kukus walaupun sebenarnya kurang bersemangat dan kurang rajin untuk membuatnya.



Ini pula kek cawan pisang. Kebetulan kak Yah memberi pisang jadi saya teringin pula nak mencuba kek cawan mengikut satu resipi yang terdapat dalam satu blog. Kek ini rasanya sesuai juga dijamu kepada para tetamu pada majlis rumah terbuka hari raya. Resipinya saya copy paste saja di bawah ini.


KEK CAWAN PISANG BERKISMIS
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
1 tsp soda bikarbonate
1 1/2 tsp baking powder
1/4 tsp garam halus
1 cawan gula perang
1 tsp ovallate
2 biji telur gred B (saya guna gred A)
250 gm pisang - dilenyek dan masukkan asen vanilla, gaul rata
1/2 tsp asen vanilla
1/2 cawan minyak jagung
1/3 cawan susu segar atau susu cair (saya guna susu segar)
1/2 cawan kismis - digaul dengan sedikit tepung gandum (saya letak 1 cawan raisin golden)

Cara-cara :
Ayak tepung gandum, soda bikarbonate, baking powder dan garam halus bersama. Ketepikan.
Pukul telur bersama gula perang dan ovallate hingga kembang dan likat pada kelajuan maksimum.
Masukkan pisang lenyek yang telah digaul dengan asen vanilla tadi. Pukul rata.
Masukkan bahan ayak berselang seli dengan minyak dan susu hingga habis sambil memutar dengan kelajuan sederhana. Mulakan dengan tepung dan diakhiri dengan tepung juga.
Masukkan kismis dan gaul rata dengan spatula.
Masukkan adunan ke dalam cawan kertas dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 C selama 20 minit bergantung kepada oven masing-masing. Sekiranya membakar kek menggunakan loyang, bakar selama 40 - 45 minit atau sehingga masak. Cucuk lidi sate di tengah-tengah kek dan tarik keluar. Sekiranya lidi sate bersih dan tiada adunan basah yang melekat, maknanya kek telah masak.


Selamat mencuba...Selamat hari raya maaf zahir dan batin...








Kek Durian

Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari ini sudah 15 hari kita berpuasa. Semoga kita dapat menjalani ibadah ini pada hari-hari berikutnya dengan penuh keikhlasan dan ketenangan...Amin.

Masuk hari ke-15, projek membuat kuih raya pun bermula. Biasanya awal puasa saja kuih raya sudah ditempah daripada rakan. Tetapi tahun ini teringin pula nak buat sendiri. Tambahan pula ada adik yang akan membantu. Bahan-bahan membuat kuih pun sudah dibeli dan merancang akan membuatnya pada hari Khamis ini.

Angin-angin hari raya pun sudah terasa. Lagu rayu pula sudah berkumandang di radio dan pusat-pusat beli-belah. Walau bagaimanapun membuat kek tetap diteruskan. Kek kali ini dibuat untuk hari lahir dua orang adik lelaki Noor Asyaruddin (15 Ogos) dan Nur Muhammad Firdaus (13 Ogos). Kami menyambutnya semalam (14 Ogos) selepas berbuka puasa. Istimewanya, kek ini jarang-jarang dibuat dan rasanya tak ada dijual di kedai. Adik tanya di Secret Recipe ada tak jual. Saya jawab macam tak ada sebab orang putih tak makan durian..hehe... Inilah kek durian yang saya buat.Angah kata inilah kek yang tersedap di dunia hehe..memang sedap bagi yang suka akan durian. Yang tak suka, bau durian pun tak boleh.




Kek yang telah dihias dengan fresh cream




Kek yang dilapisi mousse durian...



Seperti biasa saya ingin berkongsi resipinya.Resipi ini saya peroleh dalam majalah WANITA keluaran Mei 2010.

Bahan-bahan untuk kek span:
250 gm tepung campuran span
250 ml telur
100 ml air
100 ml mentega yang telah dicairkan.

Mousse Durian:
375 gm isi durian
100 gm gula melaka
100 ml air
2 biji telur
15 gm gelatin
345 krim putar (UHT)

Untuk hiasan:
250 ml whipping cream topping

Cara membuat kek span:
1. Campurkan tepung span mix bersama telur dan air. Pukul hingga kembang.
2. Masukkan mentega cair. Gaul hingga sebati.
3. Tuang ke dalam loyang saiz 8 inci dan bakar pada suhu 180 darjah celcius
selama 40 minit.

Cara menyediakan mousse durian:
1. Pukul krim hingga kembang.
2. Masak gula melaka bersama air. Setelah gula melaka larut, masukkan
isi durian dan telur. Kacau sebati.
3. Cairkan gelatin dengan cara double boiler.
4. Campurkan krim ke dalam isi durian dan masukkan gelatin. Kacau hingga sebati.
5. Potong kek kepada tiga bahagian. Lapiskan kek dengan mousse durian.
Sapu nipis keliling kek dengan mousse durian. Selepas itu, sejukkan di dalam peti ais selama 30 minit, kemudian hiaslah dengan fresh cream yang telah diputar kembang.

Selamat mencuba..






p/s : Semakin hampir suara takbir, semakin rapat kesedihan menemani diri, semakin tebal kerinduan pada orang yang telah pergi....


Carrot Cupcake

Assalamualaikum.

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia. Semoga kita diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah berpuasa selama sebulan ini... InsyaAllah.

Minggu lepas, sebelum berpuasa rakan-rakan membuat pot-luck. Kebetulan teruja nak membuat kek cawan karot, saya mencuba mengubah suai sedikit resipi kek karot yang biasa saya buat, sesuai untuk cupcake.Cara mendeconya saya melihat video yang ditunjukkan dalam blog Sweet Vanilla. Alhamdulillah menjadi juga deco saya dan rakan-rakan memuji cupcake saya sedap. Terima kasih kepada Raihanna tuan punya blog Sweet Vanilla, bakal seorang doktor yang gigih membantu keluarganya. Ketabahan, kegigihan dan semangatnya memang patut dijadikan contoh kepada para pelajar sekarang.





Inilah carrot cupcake saya...mmmmm memang sedap. Suami pun puji sedap....

Di sini saya ingin berkongsi resipinya.

Bahan-bahan:

200 gram lobak merah, diparut
250 gram tepung gandum
100 gram gula perang
100 gram gula castor
200 gram minyak jagung
70 gram walnut, dicincang kasar
1 cawan kismis (raisin golden)
4 biji telur gred A
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
¼ sudu teh serbuk kulit kayu manis
¼ sudu teh garam
3 sudu teh jus lemon
1 sudu besar makan susu segar

Topping Cream Cheese
250 gram Cream Cheese
120 gram gula icing (ayak dulu)
120 gram butter unsalted
1 sudu teh jus lemon

Pukul Cream Cheese.Masukkan butter hingga sebati (tidak berketul2)Masukkan pula gula icing dan jus lemon. Pukul hingga sebati dan siap untuk disapu pada kek carrot.

Cara-cara membuat kek:
1. Ayak tepung gandum bersama-sama baking powder dan soda
bikarbonat. Masukkan serbuk kulit kayu manis dan garam.




2. Pukul telur dan gula hingga kembang menggunakan mixer dengan kelajuan tinggi. Masukkan minyak jagung dan pukul lagi hingga sebati.




3. Masukkan tepung yang telah diayak tadi dan kaup balik hingga sebati. Masukkan lobak merah, walnut dan kismis dan kaup balik hingga sebati.




4. Akhir sekali ,masukkan jus lemon dan susu segar.




5. Masukkan adunan ke dalam kertas cawan dan bakar pada suhu 160º C selama 20 minit.




6. Setelah sejuk, hiaslah kek dengan topping cream cheese tadi.





Selamat mencuba...

tentang blog

Menerima Tempahan untuk Kek Kukus Buahan-buahan

tentang saya

diet pills