Assalamualaikum. Bahang raya sudah terasa. Kedai pembekal bahan-bahan membuat kuih sudah mula dikunjungi ramai. Mungkin mereka hendak membuat kuih-kuih contoh untuk bulan depan. Almaklum puasa mula awal Ogos.
Kali ini saya ingin berkongsi resipi warisan bondaku...kek kukus buah-buahan. Kek tradisional yang menjadi hidangan untuk tetamu pada hari raya. Masa bonda muda-muda dulu, dia mesti membuatnya apabila tiba hari raya dan dakulah yang menolongnya semasa menuang gula hangus hehe...Mujurlah ada anaknya yang mewarisi resipinya dan kini menyambung membuat kek tradisional ini. InsyaAllah resipi bondaku ini sedap dan keknya tidak terlalu manis.
Bahan-bahan
1 ¼ buku mentega ( ±315 gm, saya guna mentega SCS)
300 gm tepung gandum
300 gm buah-buahan campuran
3 biji telur gred A
1 camca teh soda bikarbonat
1 camca teh cream of tartar
120 g gula gula pasir
120 g gula pasir (untuk gula hangus)
1 sudu teh buah pala diparut (jika tidak suka boleh ganti dengan esen vanilla)
Cara-cara:
1. Jerang air di dalam pengukus hingga mendidih. Ayak tepung bersama soda bikarbonat dan cream of tartar. Kemudian, masukkan buah-buahan campuran dan parutan biji pala ke dalam tepung yang telah diayak tadi dan gaul hingga buah-buahan tadi bersalut dengan tepung. Tujuannya untuk mengelakkan buah mendak ke bawah. Ketepikan dulu.
2. Pukul mentega dengan gula pasir hingga berkrim.
3. Masukkan telur satu persatu. Pukul dengan whisk tangan saja sehingga sebati.
4. Masukkan tepung yang telah digaul dengan buah-buahan tadi sedikit demi sedikit hingga habis. Gaul hingga rata.
5. Masak gula pasir. Kacau gula tersebut tanpa henti hingga menjadi hangus.
6. Tuang gula hangus perlahan-lahan ke dalam adunan kek sambil terus mengacau hingga sebati. Buat dengan hati-hati dan cepat kerana gula hangus cepat beku apabila sejuk.
7. Lenser loyang kek bersaiz 8inci x 8 inci dengan mentega dan alas dasar loyang dengan kertas minyak.
8. Tuang adunan kek ke dalam loyang tadi
9. Tutup loyang kek dengan aluminium foil dan ikat sekelilingnya dengan tali rafia. Tujuannya untuk mengelakkan wap masuk ke dalam adunan kek.
10. Kukus selama 4 jam dengan api yang sederhana hingga kek masak. Jika air berkurangan selepas 1 jam, tambah air panas mendidih. Jangan gunakan air sejuk . Apabila masak keluarkan kek dari acuan dan sejukkan di atas redai kek.
Inilah bahan-bahan yang saya gunakan...
Campurkan buah-buahan kering dan biji pala yang telah diparut ke dalam tepung yang telah diayak.
Beginilah rupa tepung yang telah digaul dengan buah-buahan kering dan biji pala. Petua ini saya dapat daripada Che Mat Gebu untuk mengelakkan buah mendap ke bawah. Pernah juga cuba petua lain iaitu gaul sedikit saja tepung dengan buah-buahan tersebut tetapi buahnya tetap mendap. Terima kasih Che Mat Gebu dengan petua yang diberikannya..
Satukan gula pasir dan mentega di dalam pengadun
Putar lebih kurang 10 minit hingga mentega berkrim dengan kelajuan sederhana
Mentega yang sudah berubah warna keputih-putihan dan berkrim
Masukkan telur satu persatu. Gaul sebati dengan whisk tangan saja.
Apabila sudah sebati barulah masukkan telur yang berikutnya.
Masukkan pula tepung tadi sedikit demi sedikit dengan cara kaup dan balik. Ketepikan dulu..
Masak gula pasir. Kacau sentiasa gula tersebut hingga menjadi hangus.
Apabila kelihatan gula berbuih sepenuhnya, tuang gula tersebut ke dalam adunan tadi dengan cepat tetapi berhati-hati sambil menggaulnya..
Kukuslah selama 4 jam. Kek yang dikukus cukup 4 jam, boleh tahan sebulan walaupun tidak disimpan di dalam peti ais.
0 comments:
Post a Comment