Kek karot taburan walnut






Assalamualaikum.



Alhamdulillah minggu ini telah membuat 3 biji kek tenpahan. 2 biji kek coklat pisang dan sebiji kek karot. Kek karot ini ditempah oleh rakan Angah, Onna untuk hari lahir ibunya. Resipi kek karot ini memang istimewa. Kebanyakan resipi hanya letak karot saja tetapi kek karot yang saya buat ini ditambah nanas, walnut, dan kismis. Keluar saja kek ini dari oven, baunya saja dah terasa sedap dan menaikkan selera. Kek ini digemari ramai terutama golongan dewasa yang tidak berapa suka kek-kek coklat dan kek yang berkrim. Rasanya memang klasik ditambah lagi toppingnya cream cheese, butter dan perahan jus lemon. Jus lemonlah yang menjadikan toppingnya sungguh lazat.



Semasa mengadun kek ini, hati saya sebenarnya tersentuh sedih kerana kek ini mengingatkan saya pada Allahyarhamah adik saya, Ani. Kek ini ditempah olehnya untuk hari lahir anaknya, Wani. Wani memotong kek ini di wad, dua hari sebelum ibunya pergi meninggalkan kami semua. Masih saya ingat lagi, dia duduk di katil melihat wani memotong kek tetapi saya lihat pandangannya itu seolah-olah kosong. Mak menyuruh suaminya menyuapkan sedikit supaya dia dapat menjamahnya tetapi dia hanya menggelengkan kepala saja. Sungguh menyayatkan hati semasa melihat keadaannya pada masa itu. Al-fatihah untuknya semoga rohnya aman di alam sana.



Untuk minggu depan nampaknya belum menerima apa-apa tempahan lagi. Jika tiada tempahan, saya akan cuba membuat satu lagi kek ala-ala secret recipe iaitu chocolate indulgence cake. Sudah dua kali mencuba sebenarnya. Kali pertama tidak menjadi. Kali kedua ok sikit. Rasa dah ada cuma keknya kurang kemas. Saya bawa ke sekolah semasa aktiviti KEGUSTA dan mereka kata memang sangat sedap. Memang susah nak buat kek ini. Patutlah harganya RM80.00 di secret recipe. Kos bahannya memang tinggi dan membuatnya pun rumit. Tetapi memang berbaloilah kalau kita berjaya membuatnya sendiri. InsyaAllah saya akan terus mencubanya. Selalunya 3 -4 kali saya mencuba sesuatu kek, barulah menjadi. Pesanan sifu saya Ija, jangan mudah berputus asa. InsyaAllah, usaha tangga kejayaan.












Aktiviti kegusta SMKCC

























Assalamualaikum. Hari ini SMKCC mengambil cuti peristiwa sempena Good Friday. KEGUSTA SMKCC mengambil kesempatan cuti ini dengan menjalankan aktiviti memasak. Menu pilihan untuk aktiviti pertama ini ialah membuat kek coklat pisang. Ramai rakan yang gemar akan kek ini dan meminta saya menunjuk ajar cara membuat kek ini. Saya tidak keberatan untuk memenuhi permintaan mereka. Mereka membuat sendiri dan saya memberikan petua dan ilmu yang saya tahu. Alhamdulillah 3 kumpulan dapat menghasilkan kek yang cantik tetapi dua kumpulan lagi agak malang kerana kek mereka bantat dan tidak naik dengan cantik. Walau bagaimanapun kami berasa sangat seronok. Lupa sekejap fail-fail yang belum lengkap lagi dan juga buku-buku pelajar yang belum bertanda.




Selepas ini tidak perlu lagi mereka pergi ke secret recipe, Buat sendiri dijamin suci, bersih dan yang paling penting ialah halal.

















Kek Coklat Hantaran


Assalamualaikum. Projek kek hari ini ialah kek coklat pisang yang ditempah oleh rakan sekerja. Alhamdulillah ramai yang menggemari kek ala-ala secret recipe. Di secret recipe harganya RM 65.00 dan saya menjualnya dengan harga RM 60.00. Tidak jauh beza tetapi bahan mentah yang saya guna memang berkualiti dan harganya pun mahal. Serbuk coklat yang saya guna ialah van houten. Coklat masakan untuk topping saya guna van houten juga atau vochelle. Whipping cream UHT, saya guna jenama Pauls. Hanya jenama ini saja yang ada logo halal. Penjual ada juga mengesyorkan saya jenama lain yang lebih murah. 1 liter harganya baru RM11.00 berbanding jenama Pauls 250 ml saja sudah RM 7.00. Memang jauh bezanya dan penjual itu kata kalau jual kek lebih jimat beli yang 1 liter. Tetapi saya tidak membelinya kerana tiada logo halal. Penjual itu kata lagi ramai orang melayu membelinya kerana lebih jimat dan menguntungkan. Saya kata biarlah tak untung banyak asalkan saya yakin bahan yang saya guna adalah halal walaupun harganya agak mahal. Saya tak sanggup menjual kek yang hendak dimakan jika bahan-bahannya kita berasa was-was. Saya memang prihatin apabila membeli barang-barang makanan.


Kek di atas ialah kek coklat lembap. Orang yang menempahnya hendak membuat hantaran pertunangan. Oleh sebab itu, saya terfikir untuk menghias kek ini dengan biskut coklat dan bar coklat crispy. Coklat tanda cinta sejati antara teruna dan dara...hehehe...romantiknya...

Inilah kali pertama membuat kek hantaran. Keknya tiada masalah nak buat tapi pening juga memikirkan macam mana nak hias kek. Akhirnya inilah hasilnya. Jika berminat hubungilah saya ya....

Kek Coklat Oreo

Assalamualaikum. Inilah kek coklat oreo yang ditempah oleh nomie untuk anniversarynya semalam. Resipi kek ini ialah kek coklat pisang. Oleh sebab ibunya tidak boleh makan pisang, jadi saya cadangkan gantikan pisang dengan biskut oreo. Lapisan atasnya pula saya taburkan coklat chip van houten. Wowww....mengancam rasanya. Nomie kata meletup.....sedap giler....terima kasih nomie. Lain kali order lagi ya.... Ada tiga lagi tempahan kek yang akan saya buat. Alhamdulillah...nampaknya pembeli menggemari kek yang saya buat walaupun sebenarnya dunia kek ini bukan bidang saya. Orang kata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Usaha tangga kejayaan......InsayaAllah.

Majlis hari lahir anak tunggalku





Alhamdulillah....tahun ini masih berpeluang meraikan hari lahir anak kesayanganku yang genap 8 tahun pada 4 April yang lepas. Oleh sebab tahun ini 4 April jatuh pada hari persekolahan, jadi majlis meraikannya dibuat pada malam tadi di rumah. Sudah beberapa tahun tidak meraikannya di rumah sendiri. Selalunya disambut di rumah neneknya. Maklumlah cucu kesayangannya yang dijaga sejak dilahirkan lagi. Tambahan lagi cucu pertamanya. Istimewanya tahun ini, kek hari lahirnya tidak lagi dibeli di kedai. Kalau di kedai, keknya biasa-biasa saja. Biasanya kek span coklat atau nak sedap sedikit kek mocha. Sejak kes kopi di Kluang, saya agak was-was hendak membeli kek di kedai. Tambahan lagi mendapat maklumat memang ada wain khas dibuat untuk bahan kek.


Pada tahun ini, kek hari lahir anak, saya buat dan hias sendiri. Kek tingkat atas dan bawah merupakan kek coklat lembap. Biasanya orang membuat kek span saja tetapi oleh sebab saya tidak berapa suka kek span, jadi saya tidak berapa suka membuatnya. Kek coklat lembap lebih digemari ramai. Itu pun saya sudah ubah sikit resipinya. Kalau ikut resipi asal, keknya agak manis tetapi saya kurangkan kuantiti gulanya. Serbuk coklatnya pula saya guna van houten. Jadi bertambahlah lagi rasa coklatnya dan memang betul-betul lembap....Memang kowlah....Adik bongsu yang belum pernah makan kek coklat kakaknya ini memuji keknya sangat sedap. Malahan dia lebih suka kek coklat daripada kek coklat pisang yang juga ada dihidangkan pada malam tadi.


Terima kasih kepada adik-adik kesayanganku yang sentiasa memberi sokongan pada kakak sulungnya. Ketika menaip patah-patah perkataan ini, air mata mengalir mengingatkan Allahyarhamah adikku Ani yang pergi lebih dahulu. Dia juga memberikan sokongan yang kuat selain Angah. Alfatihah untuknya....semoga dia aman di sana.


Terima kasih juga kepada semua tetamu yang hadir. InsyaAllah....jika ada rezeki dan dipanjangkan umur kita akan meraikannya lagi pada tahun hadapan.

Kek Coklat Pisang




Assalamualaikum. Alhamdulillah minggu ini saja membuat 3 biji kek coklat pisang. Kek ini memang digemari ramai kerana keknya ala2 secret recipe. Memang sedap dan dijamin halal. Membeli kek-kek seperti ini memang kena berhati-hati kerana antara bahan yang digunakan ialah gelatin dan whipping cream yang perlu diberikan perhatian. Jika kita membuatnya sendiri sudah pasti kita akan memastikan gelatin yang digunakan adalah halal dan pada bekas berisi gelatin mesti ada logo halal. Begitu juga whipping cream kerana ada jenis whipping cream yang tiada logo halal pada kotaknya membuatkan kita berasa was-was. Selain melihat tarikh luput, saya juga akan melihat sama ada pada kotak whipping cream itu ada logo halal atau tidak. Biasanya saya tidak membeli whipping cream yang dijual di pasaraya kerana saya dapati tiada logo halal pada kotak tersebut menjadikan saya was-was. Untuk gelatin saya beli jenana Nona dan whipping cream di kedai Kim Wah kerana saya pasti pada kotak whipping cream itu ada logo halal. Sebagai muslim kita perlu prihatin pada apa-apa yang kita beli dan makan apatah lagi saya membuat kek untuk dijual. Jika tidak penjual yang akan menanggung dosanya...nauzubillahminzalik....


Selepas ini ada lagi kek-kek tempahan yang akan dibuat. Hari ini dan esok akan menyiapkan kek hari lahir anak yang akan disambut bersama keluarga dan rakan-rakan anak. Minggu depan Nomie menempah kek coklat pisang tetapi oleh sebab ibunya tidak boleh makan pisang, jadi saya akan gantikan dengan biskut oreo. Minggu berikutnya tempahan daripada rakan sekerja kek coklat pisang juga untuk hari lahir anak dan suaminya. Alhamdulillah sentiasa ada tempahan. Mudah-mudahan Allah murahkan lagi rezeki kami sekeluarga...Amin.

Kek coklat steam buttercream


Lapan tahun dahulu lahirlah anak tunggalku Alina Aisyah pada 4.4.2003 hari Jumaat ketika imam sedang membaca khutbah Jumaat. Alhamdulillah dia selamat dilahirkan walaupun ibunya mengalami masalah tekanan darah tinggi sepanjang kehamilannya sehingga terpaksa mengambil ubat darah tinggi sejak kandungan 3 bulan lagi. Bersyukur kerana impian untuk mendapatkan anak perempuan Allah makbulkan. Anakku pernah bertanya kepada ibunya mengapa ibu suka anak perempuan. Ibunya memberikan jawapan anak perempuan boleh tolong ibu mengemas rumah dan memasak untuk ibunya! Sekarang impianku untuk melihat anakku menjadi anak yang solehah dan cemerlang dalam bidang akademik. Alhamdulillah dia berjaya memperoleh anugerah cemerlang pada tahun lepas. Untuk tahun ini diharap anakku dapat mengekalkan kecemerlangannya walaupun ibunya semakin sibuk sekarang,


Untuk anakku ibu doakan semoga ina menjadi insan yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi sahsiah diri. Amin...

Kek karot


Inilah kek karot yang ditempah oleh Angah untuk majlis hari lahirnya semalam dengan rakan sepermainan di kampung dulu yang sama tarikhnya (atau hampir sama tak pasti pula). Ramai yang memuji kek karot ini sedap termasuklah rakan-rakan Angah yang makan kek ini semalam. Alhamdulillah tak sia-sia mencari resipi kek ini. Yang pening kepalanya, resipi kek ini ada pelbagai versi. Tak tahu mana yang sedap. Terjumpa resipi ini dalam blog Azizah Ariffin teringin pula nak mencubanya sebab bahan-bahannya terdiri daripada karot, kismis, kepingan nanas dan badam. tetapi saya gantikan badam dengan walnut. Ditambah lagi di atas kek ditabur walnut yang dipanggang. Memang sedap. Karot pula saya beli yang diimport dari Australia bukan China yang banyak di pasaran. Walaupun karot China lebih murah tetapi rasanya agak tawar berbeza dengan karot Australia yang lebih sedap. Walnut juga bukan dari China tetapi yang diimport dari Amerika yang sekilo harganya RM45.00. Beli 200 gram saja dah RM9.00. Tak pelah mahal sedikit, yang penting keknya lebih sedap. Tambah menyedapkan lagi ialah toppingnya terdiri daripada cream cheese, butter unsalted, gula aising dan perahan jus lemon.


Rakan Angah Nomie ingin menempah kek karot juga sempena ulang tahun perkahwinannya tapi nak toppingnya coklat macam topping kek coklat pisang. Alahai nomie....macam mana tu? Tak ngamlah rasanya nanti. Kek karot tapi toppingnya coklat. Rasanya tak de lagi orang yang buat macam tu dik..... Tapi orang mengandung ni biasanya nak makan yang pelik2 ya....kalau nomie mengidam kek karot topping coklat kenalah akak buat juga....hehehe.....




Kek hari lahir



Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah kerana masih diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk membuat kek-kek tempahan walaupun semakin sibuk dengan tugas di tempat kerja apatah lagi di rumah. Minggu ini sahaja sudah membuat tiga biji kek tempahan, kek coklat lembap dan dua biji kek coklat pisang. Kek coklat pisang yang bersaiz 7 inci ditempah oleh rakan sejawat Pn. Murni Azilin. Murni kata kek yang terbaik. Alhamdulillah...terima kasih Murni. Lain kali boleh order lagi ya....


Kek coklat lembap dan kek coklat pisang yang bersaiz 9 inci ditempah oleh rakan Angah. Kelam-kabut juga dibuatnya sebab tempahan dibuat semalam dan keknya hendak pada hari ini. Orang kata rezeki jangan ditolak...syukur dapat menyiapkannya juga walaupun terpaksa tidur agak lewat. Sekarang ni dah mula terasa tak cukup tidur...tetapi walau bagaimanapun InsyaAllah tugas rasmi akan tetap didahulukan di samping terus membuat kek-kek tempahan.

Hari ini akan membuat kek karot pula yang ditempah oleh pelanggan setiaku Angah. Angah akan menyambut hari lahirnya bersama rakan lamanya esok.


Terima kasih kepada suamiku yang sangat memahami isterinya ini yang semakin sibuk. Dialah yang membantu menghantar kek-kek yang ditempah oleh Angah dan rakan-rakannya walaupun terpaksa menghantarnya pukul 6.00 pagi. Bilik khas untuk membuat kek yang diubahsuai oleh suami sudah mula digunakan walaupun belum siap sepenuhnya. Selepas ini taklah lagi pening kepala suamiku dengan dapur yang berkecah dengan peralatan membuat kek dan krim aising......

tentang blog

Menerima Tempahan untuk Kek Kukus Buahan-buahan

tentang saya

diet pills